Blog Header

HAPPYLAND BALLOON

Monday, 28 August 2017

Cara Untuk Melapurkan Anti Keganasan Rumahtangga.



"Ting ting.... 1655"
"Ting ting.... 1655"
Pintu bilik konsultasi Zon Hijau dibuka perlahan. Kelihatan seorang wanita melangkah lemah masuk ditemani seorang lelaki yang memakai kot.
"Adus, apahal pakai kot malam-malam begini. Ni Temerloh ni," bisik Dr Anas dalam hati.
"Puan Junaidah?," tanya Dr Anas inginkan kepastian.
"Ye, betul. Saya suami dia," jawab lelaki berkot itu.
"Apa masalah puan?, " tanya Dr Anas memulakan proses konsultasi.
"Isteri saya ni tadi hidung berdarah secara tiba-tiba tadi. Nampak dah berhenti tapi saya bawa isteri untuk pemeriksaan, " ujar lelaki berkot itu.
Dr Anas hairan. Semua soalan yang ditujukan kepada pesakit dijawab oleh suami pesakit. Puan Junaidah hanya diam tanpa satu patah perkataan pun. Beliau hanya merenung ke lantai. Tiada ekspresi muka.
"Mengapa lebam di lengan kanan ni? Apa yang berlaku?," tanya Dr Anas yang perasan ada tanda biru gelap di lengan bawah pesakit.
"Oh, ini terlanggar sinki doktor masa isteri tergelincir mencuci tandas 3 hari lepas. Saya dah larang dia mencuci sebab hari dah malam tetapi isteri saya ni rajin orangnya, " jawab lelaki berkot itu.
Dr Anas mengerling Puan Junaidah. Dia perasan ada tanda-tanda lebam lain dibahagian kaki pesakitnya. Dia rasa tidak sedap hati. Dinding mukosa hidung pesakitnya tidak menunjukkan ada pendarahan lagi.
"Dato', saya terpaksa tahan Puan Junaidah untuk pemeriksaan darah dan pemerhatian di Wad Pemerhatian," kata Dr Anas kepada lelaki berkot itu. Dia sengaja memanggil lelaki itu dengan gelaran Dato', sesuai dengan kot yang dipakainya. Lagipun kebarangkalian untuk lelaki dengan pakaian begitu bergelar Dato' agak tinggi di Negeri Pahang.
"Panggil saya Shaari. Saya belum dianugerahi Dato' lagi. Tapi manalah tahu, masin mulut doktor," jawab lelaki berkot itu sambil ketawa bangga. "Lamakah isteri saya akan ditahan doktor? Perlukah? Pendarahan hidungnya pun dah berhenti. Saya nak bawa dia balik," mohon lelaki itu.
"Isteri Encik Shaari saya akan letakkan dibawah pemerhatian selama beberapa jam sehingga keputusan ujian darah saya analisa," terang Dr Anas yang sudah bertekad ingin menyiasat kecurigaan yang bersarang difikirannya.
2 jam berlalu ......
Dr Anas mula resah. Suami Puan Junaidah tidak berenggang langsung dengannya. Keputusan darah juga telah diterima. Normal.
"Dr Anas, suami pesakit bernama Puan Junaidah menanyakan bila isterinya boleh dibenarkan pulang," tanya jururawat bertugas di Wad Pemerhatian. "Beliau langsung tidak meninggalkan isterinya. Ke tandas pun diturutinya," tambah jururawat lagi.
"Nurse jangan risau. Biar dahulu. Sedikit masa lagi keluarlah si suami tu. Saya perasan ada rokok Dunhill 20 dipoketnya. Mesti dia terpaksa keluar daripada kawasan hospital untuk merokok," kata Dr Anas.
Benar kata Dr Anas. Encik Shaari dilihat resah dan mundar-mandir sebelum dilihat keluar daripada Jabatan Kecemasan & Trauma.
Puan Junaidah menangis teresak-esak apabila ditanyakan tentang apa yang sebenarnya berlaku. Benar bagai yang disyaki oleh Dr Anas, Puan Junaidah adalah mangsa penderaan rumahtangga. Begitu terperinci Puan Junaidah menceritakan bagaimana beliau didera saban hari sejak 6 bulan lalu. Terkasima Dr Anas mendengar cerita Puan Junaidah. Bukan sahaja penderaan fizikal, malahan Puan Junaidah juga di dera daripada segi mental dan seksual.
"Tapi doktor, mungkin suami saya mengalami tekanan jiwa agaknya memperlakukan saya sedemikian. Memang perniagaan beliau ada masalah kebelakangan ini," tiba-tiba Puan Junaidah membela suaminya. Ini adalah Sindrom Stockholm, dimana mangsa penderaan merasa belas terhadap orang yang mendera mereka. Tidak logik tetapi sindrom ini memang wujud.
"Nurse. Please activate OSCC protocol. I'll inform the police for protection. Please inform Jabatan Kerja Sosial so that they can liase with Jabatan Kebajikan Masyarakat. Arrange for admission because patient has no place to go," arahan daripada Dr Anas. Tiba-tiba sahaja beliau bercakap dalam bahasa Inggeris menunjukkan beliau sedikit tertekan untuk menyelamatkan pesakit ini.
Tidak lama selepas itu.......
"Doktor! Mana isteri saya?! Saya baru tinggalkan sekejap isteri saya dan doktor kata isteri saya telah dibenarkan pulang? Jika benar, dia pulang ke mana?" marah En Shaari apabila mendapati isterinya tiada di katil Wad Pemerhatian. "Saya boleh buat aduan dengan pihak pengurusan. Pengarah hospital ni orang kampung saya," sambungnya.
Dr Anas tidak bercakap banyak. Tidak berapa lama kemudian tiga orang anggota polis tiba di Jabatan Kecemasan & Trauma. Mereka menahan Encik Shaari untuk tindakan lanjut. Kini Puan Junaidah boleh berasa lega. Penderitaan beliau bakal berakhir, akibat keperihatinan Dr Anas yang perasan dan cakna tentang pesakitnya.
One Stop Crisis Centre (OSCC) adalah tempat perkhidmatan sepadu setempat untuk mangsa penderaan domestik atau rumahtangga. Mangsa hanya perlu datang ke Jabatan Kecemasan & Trauma untuk diperiksa tahap kecederaan. Bagusnya mangsa tidak perlu ke sana dan ke sini. Urusan lapuran polis, perlindungan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan psikologikal boleh didapati disini. Mangsa keganasan rumahtangga bukan sahaja untuk wanita bahkan juga untuk lelaki. Ya, ada juga sang suami yang didera isteri tau!
Biasanya mangsa keganasan rumahtangga bukan dikasari sekali dua, tetapi selalunya perlakuan ini berlaku beberapa lama sebelum mangsa mendapatkan pertolongan. Ada juga yang khuatir dan tidak mahu mendapatkan rawatan di sini dengan pelbagai alasan. Ramai daripada mangsa penderaan ini tidak mengetahui hak mereka. Mereka juga tidak tahu dimana dan kepada siapa hendak diadukan nasib mereka. Nasihat saya, datang ke Unit OSCC di Jabatan Kecemasan & Trauma, insya-Allah kami sedia membantu. Kami prihatin.
Nota kaki: OSCC adalah inisiatif Dato' Seri Dr Abu Hassan Ashaari Bin Abdullah, mantan Ketua Perkhidmatan Kecemasan & Trauma Malaysia. Dato' Seri kini adalah Ketua Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Kuala Lumpur.

Bulan Haji Tiba Lagi Dan Ini Harus Anda Belikan



Bulan Haji tiba lagi. Tahniah kepada bakal tetamu Allah. Suatu pengalaman yang tidak akan tuan/puan lupakan.
Saya ingin berkongsi beberapa perkara, manalah tahu jika ada manafaat kepada bakal-bakal haji kita ini. Mungkin perkara ini tidak disentuh semasa kursus haji.
1. Niat dari ketika berada di Malaysia kena tekad & bulatkan. Mohonlah kemudahan untuk beribadat, InsyaAllah akan ada kekuatan semulajadi. Serahkanlah harta, anak-anak dan rumah kepada Allah, nescaya hati akan tenang selama di Tanah Suci.
2. Jika ada niat untuk beli data internet di Mekah siapkan salinan passport awal untuk urusan pendaftaran kerana tuan/puan tidak akan memegang passport disana.
3. Muat turun applikasi IMO untuk kemudahan menelefon/panggilan video kepada anak-anak di Malaysia. Hanya menggunakan sedikit data internet. Jika mahu lebih murah, gunakan wifi lobi hotel
4. Bawa cangkuk berbentuk 'S' dari Malaysia. Cangkuk ini penting kerana tandas dan bilik air di Mina tiada tempat menyangkut baju. Bawa juga penyangkut baju sekali.
5. Kesabaran memang akan diuji ketika tawaf. Rakan kita dari benua India dan sekitarnya ada berbeza sedikit perlakuannya di situ. Anda mungkin akan terasa diri ditolak kehadapan walaupun dihadapan anda padat. Pesan saya cepat-cepat beristighfar. Ujian ini memang kerap saya gagal.
6. Pastikan bawa ubat-ubatan yang diperlu daripada Malaysia. Walaubagaimanapun Tabung Haji menyediakan klinik-klinik rawatan disana.
7. Rebutlah peluang buat pahala di sana kerana ganjaran yang berkali ganda. Bawalah Strepsil dan berikan kepada jemaah yang sedang batuk disebelah tuan/puan nanti. Bawakanlah secawan air zam-zam dan berikan kepada jemaah yang sedang mengaji. Berkongsi sejadah dengan jemaah lain. Berikan ruang untuk jemaah lain menyelinap solat ketika masuk waktunya.
8. Selepas wukuf dan tawaf haji, ramai jemaah haji negara luar mula balik kenegara masing-masing. Ketika ini hotel-hotel sekitar Masjidil Haram akan mula kosong dan harga mampu didiami. Saya lihat ramai juga jemaah Muassasah yang 'check in' kerana mahu lebih selesa dan hampir dengan Masjidil Haram. Tetapi harap maklumkan dulu kepada pihak Tabung Haji.
9. Saya nasihatkan 2-3 hari sebelum wukuf di Arafah dapatkanlah rehat yang cukup. Saya tidak menggalakkan tuan/puan melakukan Umrah ketika itu kerana dataran Kaabah padat. Simpan tenaga kerana amat diperlukan ketika di Arafah nanti.
10. Susu dipasaraya Mekah rasaya lebih sedap daripada di negara kita. Cuba juga buahan jus dalam tin yang berharga 1 Riyal.
11. Kedai makanan segera Al-Baik yang menjual ayam goreng segera juga perlu dikunjungi sekali.
12. Harga barang cenderahati akan mula jatuh apabila jemaah negara lain mula pulang. Inilah masa yang sesuai untuk membeli sedikit buah tangan.
Cukuplah dahulu buat masa ini. Semoga tuan/puan mendapat haji yang mabrur.

Anda mungkin adalah titik pemutus antara hidup dan mati seseorang!



Gedushhhh!!!!!
“Tolong! Tolong! Ada budak jatuh ke dalam air!”

Suasana hening seketika. Tiada bunyi hingar bingar. Tiada alunan muzik menguasai ruang. Suasana ria keraian ulang tahun tiba-tiba terhenti.
Nun ditengah kolam renang, kelihatan sekujur tubuh bertarung nyawa. Terkapai-kapai tangannya melawan air. Kudratnya semakin perlahan. Dia tidak melawan sekuat mula-mula tadi.

Gedushhh!!!!
Seorang lelaki terjun ke dalam air kolam renang itu. Dia hanya sempat mencampakkan dompet dan telefon bimbitnya kearah orang ramai yang tertumpu dipinggir kolam renang.

Pantas renangan lelaki itu. Dia sedar setiap saat berlalu maka kebarangkalian satu nyawa akan melayang. Dia berjaya mencapai mangsa tadi. Dirangkulnya mangsa sambil mengapungkan dirinya. Mangsa dibawanya berenang ke tepi kolam.

Orang ramai mengerumuni mangsa. Beliau adalah seorang budak lelaki dalam lingkungan 10 tahun. Senda gurau dengan rakan-rakan ditepi kolam renang telah memakan dirinya. Biru, pucat dan tiada tindakbalas. Tangisan seorang wanita semakin kuat. Ibu kepada mangsa.

“Ke tepi semua! Saya doktor!”
Satu suara halus memecah keheningan. Memang suatu suratan, Dr Farina menghadirkan diri menemani anaknya ke majlis sambutan hari kelahiran anak jirannya. Memang agak biasa majlis sambutan sebegini dilangsungkan ditepi kolam renang apartmen yang tersohor di Bangsar.

“Adik! Adik! Bangun! Bangun!” Tiada tindakbalas.

“Encik berbaju merah! Tolong telefon 999! Beritahu ada mangsa lemas,” arah Dr Farina.
Kepala mangsa didongakkan. Dr Farina memerhatikan dada mangsa. Tiada sebarang pergerakan. Mangsa telah berhenti bernafas. Bantuan CPR perlu diberi. Sepantas kilat Dr Farina menyusun kedua-dua tangannya diatas satu sama lain. Tangannya diletakkan betul-betul di separuh bawah dada mangsa. Tekanan didada dimulakan. Dr Farina membayangkan irama lagu 70an, “Staying Alive’ oleh kumpulan popular Bee Gees. Irama lagu ini membantunya mendapatkan rentak tekanan dada 100-120 kali seminit. Beliau juga perlu memastikan kedalaman tekanan dada 5 cm.

“Doktor, saya juga tahu CPR. Jika doktor letih saya boleh ganti,” suara lelaki menyusuli. Rupanya lelaki itu adalah orang yang sama berenang menyelamatkan mangsa. Seorang lelaki dalam lingkungan 30an. Raut mukanya seiras muka Beni Rusani seorang penulis buku, rakan Rafidah Abdullah. Kacak. Doktor Farina mengangguk tanda faham. Dia tidak boleh berhenti untuk menjawab pernyataan lelaki itu kerana tekanan dada perlu dilakukan secara berterusan agar efektif.

Mangsa masih tidak sedarkan diri. Namun begitu air kolam mula keluar daripada mulutnya setiap kali tekanan dada diberikan. Bercampur dengan cebisan kek dan ayam goreng KFC yang masih belum hadam.

30 saat ......
60 saat .......
90 saat berlalu .......

“Uhuk! Uhuk! Uhuk!”
Tiba-tiba mangsa mula batuk. Perlahan-lahan matanya terkedip-kedip sebelum kelopak matanya terangkat lemah. Anggota tangannya juga mula menunjukkan pergerakan.
Doktor Farina menyentuh nadi karotid mangsa. Kuat dan laju denyutan nadi. Mangsa dibaringkan ke posisi pemulihan. Dr Farina memantau pernafasan dan nadi mangsa dari masa ke semasa sementara menunggu ambulan tiba."Mak. Mak," suara mangsa memanggil ibunya. Si ibu telah berhenti menangis. Dia sedar masih ada peluang kedua untuk anaknya. Syukur.

Hands-Only-CPR adalah bantuan kecemasan yang diberikan untuk mangsa yang degupan jantungnya berhenti. Sesuai dilakukan oleh orang awam. Ia digariskan dalam beberapa langkah:

D (danger)- pastikan keadaan selamat
R (respond) – tindakbalas mangsa
S (shout)- meminta pertolongan/telefon 999
A(airway) – mendongakkan kepala untuk membuka salur pernafasan
B (breathing)- melihat samada ada pernafasan atau tidak
C (compression)- tekanan dada
D (defibrilator)- bantuan automated external defibrillatorjika ada.

Untuk memberikan CPR berkualiti tinggi, perkara-perkara ini perlu dilakukan:

1. Tekanan dada selaju 100-120/min.
2. Kedalaman tekanan dada 5-6 cm (dewasa).
3. Tidak berhenti melakukan tekanan dada.
4. Jika berhenti cuma untuk memeriksa nadi, itupun setelah tekanan dada selama 2 minit. Berhenti tidak melebihi 10 saat.
5. Setiap kali tekanan dada, pastikan kedudukan dada mangsa kembali ke posisi asal sebelum ditekan sekali lagi.

Setiap rakyat Malaysia perlu tahu CPR kerana ia adalah bantuan awal kecemasan dalam kes-kes jantung terhenti berdegup. Kita tidak tahu bila kita memerlukan CPR, cuma jika diperlukan ia adalah titik pemutus antara hidup dan mati.

(Kisah ini adalah kisah benar yang telah diolah semula untuk menyembunyikan identiti mangsa. Dr Farina kini adalah Pakar Perunding Perubatan Kecemasan di Institut Jantung Negara.)

Masih Ingat Saya Ke?



"Assalamualaikum doktor. Cuti hari ini?"
"Waalaikumsalam. Ya, hari ini off," jawabku. Ku senyum pada si penanya. Hairan. Neuronku gagal mengingat siapa dan di mana kami pernah berjumpa.
"Saya agak dah. Ini, budak yang doktor jahit luka didagu dah sekolah darjah 2 sekarang," katanya lagi.

Aku tersenyum mengiyakan. "Makin comel," jawabku merujuk anak perempuannya.
"Ha ha ha. Ikut ibunya doktor. Lagipun bekas jahitan dahulu pun dah tiada kesan. Terima kasih doktor. Kalau tidak saya terpaksa beri diskaun wang hantaran kahwinnya bila dewasa nanti. Saya pergi dulu," kata lelaki itu memimpin anak perempuannya yang comel.

Langsung tidak ku ingat siapa. Kedua-dua ayah dan anak. Tapi aku layankan juga. Biasanya pesakit yang saya rawat berbeza perwatakan dan pembawakan diri diluar. Semasa menjadi pesakit kusut masai,berlumuran darah, bengkak muka, berkain batik, lemah dan tidak berdaya. Memanglah berbeza apabila mereka telah sihat. Ada yang ranggi, bergaya, gembira tiada duka.

Kadangkala timbul rasa bersalah "berpura-pura" kenal apabila disapa. Ikutkan kata hati hendak saja saya akui, "Maaf, saya tidak ingat awak."
Sehinggalah .....

"Encik Kay, tahniah. Dengar cerita tuan telah menulis buku baru," kataku yang teruja dapat berjumpa penulis buku idolaku.
"Terima kasih. Ya. Tajuk bukunya Engkau Tidak Ku Kenal. InsyaAllah bulan Ogos ini akan diterbitkan," jawab Encik Kay.

"Oh. Sebenarnya Encik Kay kita dah dua kali berhubung melalui FB Messenger. Sayalah orang yang meminta nasihat penulisan tentang posting membawa ubat di hari raya tu," kataku cuba memperkenalkan diri.

Berkelip-kelip mata Encik Kay memandangku. "Doktor Tuah?" teka Encik Kay. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Encik Kay memandangku. Mungkin cuba mengingat. 7 saat berlalu. Suasana krikk... krikk...

"Saya pergi dulu En Kay," kataku meminta diri. Kesipuan aku. Rasa ditolak. Mungkin ini perasaan mereka yang di 'friend zone' oleh cinta hati mereka.

Maka sejak itu, saya berpegang untuk "berpura-pura" kenal. Walaupun tiada memori tentang seseorang demi mengelakkan suasa tidak kena dan menjaga air muka orang yang menyapa. Cuma satu perkara. Jangan tanya, "Doktor masih ingat saya?"

bahaya dan punca gejala wabak denggi di malaysia



*Jam 9.15 pagi
“En Saiful. Saya nak maklumkan keputusan ujian darah dah keluar. Encik memang disahkan menghidapi demam denggi. Sel darah putih pun rendah, sel darah kuning pun sedikit rendah daripada normal,” beritahu Dr Francis.

“Serius ke doktor. Saya rasa semakin sihat selepas sebotol air dimasukkan kedalam darah saya. Lagipun saya tidak demam lagi,” kata Encik Saiful. Bersungguh-sungguh beliau meyakinkan Dr Francis agar mendiscaj beliau daripada Wad Pemerhatian, Jabatan Kecemasan & Trauma.
Dr Francis menganalisa carta tanda vital pesakit. Suhu normal. Kadar denyutan jantung tidak laju. Tekanan darah normal. Kadar pernafasan juga normal.
“Encik Saiful tiada muntah-muntah? Cirit birit? Tiada pendarahan gusi atau dimana-mana? Rasa sangat letih? Sesak nafas? Ada sakit perut? Sakit ulu hati?” tanya Dr Francis. Ini kali ketiga dia menanyakan Encik Saiful tentang tanda-tanda amaran denggi. Dia khuatir jika terlepas pandang. Selain daripada kepentingan pesakit, Dr Francis mahu mengelakkan terlibat dalam Mesyuarat Kematian Pesakit Denggi. Itu mendatangkan tekanan perasaan.
“Saya okay doktor. Rasa lebih segar sekarang,” En Saiful memberi keyakinan kepada Dr Francis. “Tapi esok pagi Encik Saiful perlu hadir ke klinik kesihatan terdekat atau kembali ke sini untuk kita periksa trend bacaan darah. Namun begitu jika di rumah nanti Encik Saiful megalami muntah-muntah, cirit-birit,pendarahan, sesak nafas atau sakit perut terus datang ke Jabatan Kecemasan & Trauma. Lihat dibelakang kad ini pun ada memberitahu tanda bahaya demam denggi,” terang Dr Francis sambil memberi Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi dan Panduan Penjagaan Di rumah. Di kad tersebut tertulis tanda-tanda bahaya penyakit denggi dan panduan penjagaan di rumah.
“Baik doktor. Kita berjumpa lagi esok,” kata Encik Saiful.
“Pagi esok,” ingatan diberikan Dr Francis.
*Jam 11.00 malam
“Bang, jom masuk tidur,” ajak Puan Yati. Biasa suaminya Encik Saiful akan tidur seawal pukul 10.00 malam. Malam ini beliau lihat suaminya sedikit berbeza. Resah dan gelisah. Keluar masuk bilik air. Hidangan makan malam tidak dijamah Encik Saiful. Air masak segelas yang diminumnya pun telah dimuntahkan. Dia berasa letih berbanding siang tadi. Beliau hitung sudah lapan kali keluar masuk bilik air kerana cirit birit. Hairan difikiran beliau kerana beliau tidak ada makan digerai. Keracunan makanan fikirnya.
*Pukul 3.00 pagi.
Encik Saiful tidak dapat melelapkan mata. Beliau merasakan tidak selesa perut terutama di ulu hati. Mungkin kesan kerana beliau hilang selera sejak pulang daripada hospital pagi tadi.
"Encik Saiful, jika tahap kesihatan merudum, terus ke Jabatan Kecemasan & Trauma.” Terngiang-ngiang suara Dr Francis menasihatinya pagi tadi.
"Tunggu pagilah. Mungkin aku akan beransur sembuh pagi nanti. Suhu badan pun tidak panas. Lagipun nyenyak sungguh isteriku tidur,” kata hati Encik Saiful. Memang nyenyak Puan Yati tidur. Dengkurannya berselang seli dengan bunyi kipas dikeheningan pagi.
*Pukul 8.00 pagi
“Abang ada temujanji ambil darah kan pagi ni?” Puan Yati menanyakan Encik Saiful.
“Ha ah. Betul. Abang tidak larat nak bangun. Perut pun semakin sakit. Abang nak cuba tidur dulu. Lepas bangun nanti abang pergi hospital. Awak pergilah kerja. Nanti abang memandu sendiri ke hospital,” janji Encik Saiful.
“Abang kalau ada apa-apa telefon Yati tau,” pesan isteri yang bersiap-siap hendak ketempat kerja. Danish anaknya yang berumur 5 tahun akan dihantar ke Taska berhampiran Bank Rimau tempat kerjanya.
*Pukul 1.00 tengahhari
“Bos, saya ingin memohon kelepasan petang. Suami saya demam denggi, ada di rumah. Tetapi sejak pukul 11 pagi beliau tidak menjawab panggilan telefon. Mesej Whatsapp pun tidak dibacanya. Saya risau bos,” pinta Puan Yati kepada pegawai atasannya. Encik Bahari mengangguk lemah menyetujuinya. Nampaknya dia terpaksa mengganti tugas Puan Yati petang itu.
“Knock! Knock! Assalamualaikum! Bang?” suara Puan Yati mencari suaminya. “Eh! Kemana pula suamiku ini? Pergi ke hospital? Tetapi kereta masih dihadapan rumah,” berasa hairan Puan Yati.
“Ya Allah! Abang! Tolong!!! Tolong!!!”
_____________________________________________
Ting! Ting! (Mesej Whatsapp)
“Sazwan, patient denggi you admit petang semalam dah meninggal.He missed the boat. Masa dalam ICU asidosis tidak berkurang. Sekejap tadi BP crash.”
Aku menggelengkan kepala melihat mesej daripada Ketua Jabatan Perubatan, Dr Rafidah Abdullah.
Kes denggi masih tidak berkurang. Kempen denggi hanya tinggal kempen. Semasa gotong royong kawasan perumahan pun hanya berapa kerat yang bersama-sama petugas kesihatan dan pihak kerajaan tempatan membersih dan menghapus tempat pembiakan nyamuk.
Jika anda tinggal ditempat yang ada kes denggi atau ada petugas kesihatan datang pada lewat petang untuk semburan nyamuk dikawasan anda, sila ke Klinik Kesihatan terdekat jika ada ada tanda-tanda berikut:
1. demam beserta;
2. sakit-sakit sendi
3. ruam
4. pendarahan hidung/gusi/lebam
5. sakit dibelakang mata
6. sakit kepala
Jika anda disyaki denggi atau menghidap denggi yang dirawat di rumah, sila datang ke Jabatan Kecemasan & Trauma SEGERA (24 jam) jika ada tanda-tanda berikut:
1. Kerap muntah
2. Sakit perut/ulu hati/bahagian kanan perut
3. Pening/gelisah
4. Pucat atau kulit rasa sejuk bila disentuh
5. Sesak nafas
6. Pendarahan dimana-mana
Masa kritikal denggi adalah ketika suhu panas (demam) mula kebah. Jika tiada kenderaan sila telefon nombor 999 untuk bantuan kecemasan. Rawatan awal menyelamatkan nyawa. InsyaAllah.

Kerajaan Masih Mampu Memberi Perubatan Murah




"Doctor, I need to know how much we need to pay before my men get treatment in your hospital?" tanya pegawai tentera Amerika kepada saya pagi kelmarin. Raut wajahnya menunjukkan kegelisahan.
"Don't worry madam, in emergency situation we will give treatment first. I'm sure we can sort that out with the America embassy," saya memberikan penerangan.
"I'm afraid I need to know how much the first payment because we might need to pay from our pocket first," pinta pegawai tentera wanita itu. Kalau lihat raut mukanya macam biasa yang kita tonton di kaca televisyen. Muka Amerika.
Mungkin di negara mereka sangat-sangat pentingkan pembayaran dihospital walaupun kes-kes kecemasan. Sebab itu khabarnya rata-rata rakyat negara mereka mempunyai insurans untuk melindungi dan membantu mereka mendapatkan rawatan.
Saya pun membawa pegawai tentera Amerika itu ke kaunter pendaftaran untuk menunjukkan deposit warga asing untuk rawatan di hospital. Beliau memohon kebenaran mengambil gambar, mungkin bertujuan untuk berkongsi dengan pegawai atasan beliau jika ada rakan tentera mereka ditimpa kecelakaan selama mereka mengadakan latihan ketenteraan bersama Angkatan Tentera Malaysia di bumi Temerloh ini.
Rasa bersyukur rakyat kita mampu mendapatkan rawatan serendah bayaran RM 1 di Jabatan Kecemasan & Trauma serta Klinik Kesihatan dan RM 5 di Klinik Pakar.
Namun jika pesakit-pesakit enggan memakan ubat yang dibekalkan, saya mohon pulangkan semula ke farmasi hospital atau farmasi klinik kesihatan. Jangan buang di tong sampah. Ramai lagi yang memerlukannya.

Thursday, 22 October 2015

Tempahan belon helium




Kami menerima tempahan belon helium untuk majlis perasmian, harijadi, perkahwinan dan sebarang majlis anda. Sila hubungi untuk tempahan. Wassap/msg/call 012-9085378.