Bulan Haji tiba lagi. Tahniah kepada bakal tetamu Allah. Suatu pengalaman yang tidak akan tuan/puan lupakan.
Saya ingin berkongsi beberapa perkara, manalah tahu jika ada manafaat kepada bakal-bakal haji kita ini. Mungkin perkara ini tidak disentuh semasa kursus haji.
1. Niat dari ketika berada di Malaysia kena tekad & bulatkan. Mohonlah kemudahan untuk beribadat, InsyaAllah akan ada kekuatan semulajadi. Serahkanlah harta, anak-anak dan rumah kepada Allah, nescaya hati akan tenang selama di Tanah Suci.
2. Jika ada niat untuk beli data internet di Mekah siapkan salinan passport awal untuk urusan pendaftaran kerana tuan/puan tidak akan memegang passport disana.
3. Muat turun applikasi IMO untuk kemudahan menelefon/panggilan video kepada anak-anak di Malaysia. Hanya menggunakan sedikit data internet. Jika mahu lebih murah, gunakan wifi lobi hotel
4. Bawa cangkuk berbentuk 'S' dari Malaysia. Cangkuk ini penting kerana tandas dan bilik air di Mina tiada tempat menyangkut baju. Bawa juga penyangkut baju sekali.
5. Kesabaran memang akan diuji ketika tawaf. Rakan kita dari benua India dan sekitarnya ada berbeza sedikit perlakuannya di situ. Anda mungkin akan terasa diri ditolak kehadapan walaupun dihadapan anda padat. Pesan saya cepat-cepat beristighfar. Ujian ini memang kerap saya gagal.
6. Pastikan bawa ubat-ubatan yang diperlu daripada Malaysia. Walaubagaimanapun Tabung Haji menyediakan klinik-klinik rawatan disana.
7. Rebutlah peluang buat pahala di sana kerana ganjaran yang berkali ganda. Bawalah Strepsil dan berikan kepada jemaah yang sedang batuk disebelah tuan/puan nanti. Bawakanlah secawan air zam-zam dan berikan kepada jemaah yang sedang mengaji. Berkongsi sejadah dengan jemaah lain. Berikan ruang untuk jemaah lain menyelinap solat ketika masuk waktunya.
8. Selepas wukuf dan tawaf haji, ramai jemaah haji negara luar mula balik kenegara masing-masing. Ketika ini hotel-hotel sekitar Masjidil Haram akan mula kosong dan harga mampu didiami. Saya lihat ramai juga jemaah Muassasah yang 'check in' kerana mahu lebih selesa dan hampir dengan Masjidil Haram. Tetapi harap maklumkan dulu kepada pihak Tabung Haji.
9. Saya nasihatkan 2-3 hari sebelum wukuf di Arafah dapatkanlah rehat yang cukup. Saya tidak menggalakkan tuan/puan melakukan Umrah ketika itu kerana dataran Kaabah padat. Simpan tenaga kerana amat diperlukan ketika di Arafah nanti.
10. Susu dipasaraya Mekah rasaya lebih sedap daripada di negara kita. Cuba juga buahan jus dalam tin yang berharga 1 Riyal.
11. Kedai makanan segera Al-Baik yang menjual ayam goreng segera juga perlu dikunjungi sekali.
12. Harga barang cenderahati akan mula jatuh apabila jemaah negara lain mula pulang. Inilah masa yang sesuai untuk membeli sedikit buah tangan.
Cukuplah dahulu buat masa ini. Semoga tuan/puan mendapat haji yang mabrur.
No comments:
Post a Comment