Gedushhhh!!!!!
“Tolong! Tolong! Ada budak jatuh ke dalam air!”
Suasana hening seketika. Tiada bunyi hingar bingar. Tiada alunan muzik menguasai ruang. Suasana ria keraian ulang tahun tiba-tiba terhenti.
Nun ditengah kolam renang, kelihatan sekujur tubuh bertarung nyawa. Terkapai-kapai tangannya melawan air. Kudratnya semakin perlahan. Dia tidak melawan sekuat mula-mula tadi.
Gedushhh!!!!
Seorang lelaki terjun ke dalam air kolam renang itu. Dia hanya sempat mencampakkan dompet dan telefon bimbitnya kearah orang ramai yang tertumpu dipinggir kolam renang.
Pantas renangan lelaki itu. Dia sedar setiap saat berlalu maka kebarangkalian satu nyawa akan melayang. Dia berjaya mencapai mangsa tadi. Dirangkulnya mangsa sambil mengapungkan dirinya. Mangsa dibawanya berenang ke tepi kolam.
Orang ramai mengerumuni mangsa. Beliau adalah seorang budak lelaki dalam lingkungan 10 tahun. Senda gurau dengan rakan-rakan ditepi kolam renang telah memakan dirinya. Biru, pucat dan tiada tindakbalas. Tangisan seorang wanita semakin kuat. Ibu kepada mangsa.
“Ke tepi semua! Saya doktor!”
Satu suara halus memecah keheningan. Memang suatu suratan, Dr Farina menghadirkan diri menemani anaknya ke majlis sambutan hari kelahiran anak jirannya. Memang agak biasa majlis sambutan sebegini dilangsungkan ditepi kolam renang apartmen yang tersohor di Bangsar.
“Adik! Adik! Bangun! Bangun!” Tiada tindakbalas.
“Encik berbaju merah! Tolong telefon 999! Beritahu ada mangsa lemas,” arah Dr Farina.
Kepala mangsa didongakkan. Dr Farina memerhatikan dada mangsa. Tiada sebarang pergerakan. Mangsa telah berhenti bernafas. Bantuan CPR perlu diberi. Sepantas kilat Dr Farina menyusun kedua-dua tangannya diatas satu sama lain. Tangannya diletakkan betul-betul di separuh bawah dada mangsa. Tekanan didada dimulakan. Dr Farina membayangkan irama lagu 70an, “Staying Alive’ oleh kumpulan popular Bee Gees. Irama lagu ini membantunya mendapatkan rentak tekanan dada 100-120 kali seminit. Beliau juga perlu memastikan kedalaman tekanan dada 5 cm.
“Doktor, saya juga tahu CPR. Jika doktor letih saya boleh ganti,” suara lelaki menyusuli. Rupanya lelaki itu adalah orang yang sama berenang menyelamatkan mangsa. Seorang lelaki dalam lingkungan 30an. Raut mukanya seiras muka Beni Rusani seorang penulis buku, rakan Rafidah Abdullah. Kacak. Doktor Farina mengangguk tanda faham. Dia tidak boleh berhenti untuk menjawab pernyataan lelaki itu kerana tekanan dada perlu dilakukan secara berterusan agar efektif.
Mangsa masih tidak sedarkan diri. Namun begitu air kolam mula keluar daripada mulutnya setiap kali tekanan dada diberikan. Bercampur dengan cebisan kek dan ayam goreng KFC yang masih belum hadam.
30 saat ......
60 saat .......
90 saat berlalu .......
“Uhuk! Uhuk! Uhuk!”
Tiba-tiba mangsa mula batuk. Perlahan-lahan matanya terkedip-kedip sebelum kelopak matanya terangkat lemah. Anggota tangannya juga mula menunjukkan pergerakan.
Doktor Farina menyentuh nadi karotid mangsa. Kuat dan laju denyutan nadi. Mangsa dibaringkan ke posisi pemulihan. Dr Farina memantau pernafasan dan nadi mangsa dari masa ke semasa sementara menunggu ambulan tiba."Mak. Mak," suara mangsa memanggil ibunya. Si ibu telah berhenti menangis. Dia sedar masih ada peluang kedua untuk anaknya. Syukur.
Hands-Only-CPR adalah bantuan kecemasan yang diberikan untuk mangsa yang degupan jantungnya berhenti. Sesuai dilakukan oleh orang awam. Ia digariskan dalam beberapa langkah:
D (danger)- pastikan keadaan selamat
R (respond) – tindakbalas mangsa
S (shout)- meminta pertolongan/telefon 999
A(airway) – mendongakkan kepala untuk membuka salur pernafasan
B (breathing)- melihat samada ada pernafasan atau tidak
C (compression)- tekanan dada
D (defibrilator)- bantuan automated external defibrillatorjika ada.
Untuk memberikan CPR berkualiti tinggi, perkara-perkara ini perlu dilakukan:
1. Tekanan dada selaju 100-120/min.
2. Kedalaman tekanan dada 5-6 cm (dewasa).
3. Tidak berhenti melakukan tekanan dada.
4. Jika berhenti cuma untuk memeriksa nadi, itupun setelah tekanan dada selama 2 minit. Berhenti tidak melebihi 10 saat.
5. Setiap kali tekanan dada, pastikan kedudukan dada mangsa kembali ke posisi asal sebelum ditekan sekali lagi.
Setiap rakyat Malaysia perlu tahu CPR kerana ia adalah bantuan awal kecemasan dalam kes-kes jantung terhenti berdegup. Kita tidak tahu bila kita memerlukan CPR, cuma jika diperlukan ia adalah titik pemutus antara hidup dan mati.
(Kisah ini adalah kisah benar yang telah diolah semula untuk menyembunyikan identiti mangsa. Dr Farina kini adalah Pakar Perunding Perubatan Kecemasan di Institut Jantung Negara.)
No comments:
Post a Comment