Blog Header

HAPPYLAND BALLOON

Monday, 28 August 2017

bahaya dan punca gejala wabak denggi di malaysia



*Jam 9.15 pagi
“En Saiful. Saya nak maklumkan keputusan ujian darah dah keluar. Encik memang disahkan menghidapi demam denggi. Sel darah putih pun rendah, sel darah kuning pun sedikit rendah daripada normal,” beritahu Dr Francis.

“Serius ke doktor. Saya rasa semakin sihat selepas sebotol air dimasukkan kedalam darah saya. Lagipun saya tidak demam lagi,” kata Encik Saiful. Bersungguh-sungguh beliau meyakinkan Dr Francis agar mendiscaj beliau daripada Wad Pemerhatian, Jabatan Kecemasan & Trauma.
Dr Francis menganalisa carta tanda vital pesakit. Suhu normal. Kadar denyutan jantung tidak laju. Tekanan darah normal. Kadar pernafasan juga normal.
“Encik Saiful tiada muntah-muntah? Cirit birit? Tiada pendarahan gusi atau dimana-mana? Rasa sangat letih? Sesak nafas? Ada sakit perut? Sakit ulu hati?” tanya Dr Francis. Ini kali ketiga dia menanyakan Encik Saiful tentang tanda-tanda amaran denggi. Dia khuatir jika terlepas pandang. Selain daripada kepentingan pesakit, Dr Francis mahu mengelakkan terlibat dalam Mesyuarat Kematian Pesakit Denggi. Itu mendatangkan tekanan perasaan.
“Saya okay doktor. Rasa lebih segar sekarang,” En Saiful memberi keyakinan kepada Dr Francis. “Tapi esok pagi Encik Saiful perlu hadir ke klinik kesihatan terdekat atau kembali ke sini untuk kita periksa trend bacaan darah. Namun begitu jika di rumah nanti Encik Saiful megalami muntah-muntah, cirit-birit,pendarahan, sesak nafas atau sakit perut terus datang ke Jabatan Kecemasan & Trauma. Lihat dibelakang kad ini pun ada memberitahu tanda bahaya demam denggi,” terang Dr Francis sambil memberi Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi dan Panduan Penjagaan Di rumah. Di kad tersebut tertulis tanda-tanda bahaya penyakit denggi dan panduan penjagaan di rumah.
“Baik doktor. Kita berjumpa lagi esok,” kata Encik Saiful.
“Pagi esok,” ingatan diberikan Dr Francis.
*Jam 11.00 malam
“Bang, jom masuk tidur,” ajak Puan Yati. Biasa suaminya Encik Saiful akan tidur seawal pukul 10.00 malam. Malam ini beliau lihat suaminya sedikit berbeza. Resah dan gelisah. Keluar masuk bilik air. Hidangan makan malam tidak dijamah Encik Saiful. Air masak segelas yang diminumnya pun telah dimuntahkan. Dia berasa letih berbanding siang tadi. Beliau hitung sudah lapan kali keluar masuk bilik air kerana cirit birit. Hairan difikiran beliau kerana beliau tidak ada makan digerai. Keracunan makanan fikirnya.
*Pukul 3.00 pagi.
Encik Saiful tidak dapat melelapkan mata. Beliau merasakan tidak selesa perut terutama di ulu hati. Mungkin kesan kerana beliau hilang selera sejak pulang daripada hospital pagi tadi.
"Encik Saiful, jika tahap kesihatan merudum, terus ke Jabatan Kecemasan & Trauma.” Terngiang-ngiang suara Dr Francis menasihatinya pagi tadi.
"Tunggu pagilah. Mungkin aku akan beransur sembuh pagi nanti. Suhu badan pun tidak panas. Lagipun nyenyak sungguh isteriku tidur,” kata hati Encik Saiful. Memang nyenyak Puan Yati tidur. Dengkurannya berselang seli dengan bunyi kipas dikeheningan pagi.
*Pukul 8.00 pagi
“Abang ada temujanji ambil darah kan pagi ni?” Puan Yati menanyakan Encik Saiful.
“Ha ah. Betul. Abang tidak larat nak bangun. Perut pun semakin sakit. Abang nak cuba tidur dulu. Lepas bangun nanti abang pergi hospital. Awak pergilah kerja. Nanti abang memandu sendiri ke hospital,” janji Encik Saiful.
“Abang kalau ada apa-apa telefon Yati tau,” pesan isteri yang bersiap-siap hendak ketempat kerja. Danish anaknya yang berumur 5 tahun akan dihantar ke Taska berhampiran Bank Rimau tempat kerjanya.
*Pukul 1.00 tengahhari
“Bos, saya ingin memohon kelepasan petang. Suami saya demam denggi, ada di rumah. Tetapi sejak pukul 11 pagi beliau tidak menjawab panggilan telefon. Mesej Whatsapp pun tidak dibacanya. Saya risau bos,” pinta Puan Yati kepada pegawai atasannya. Encik Bahari mengangguk lemah menyetujuinya. Nampaknya dia terpaksa mengganti tugas Puan Yati petang itu.
“Knock! Knock! Assalamualaikum! Bang?” suara Puan Yati mencari suaminya. “Eh! Kemana pula suamiku ini? Pergi ke hospital? Tetapi kereta masih dihadapan rumah,” berasa hairan Puan Yati.
“Ya Allah! Abang! Tolong!!! Tolong!!!”
_____________________________________________
Ting! Ting! (Mesej Whatsapp)
“Sazwan, patient denggi you admit petang semalam dah meninggal.He missed the boat. Masa dalam ICU asidosis tidak berkurang. Sekejap tadi BP crash.”
Aku menggelengkan kepala melihat mesej daripada Ketua Jabatan Perubatan, Dr Rafidah Abdullah.
Kes denggi masih tidak berkurang. Kempen denggi hanya tinggal kempen. Semasa gotong royong kawasan perumahan pun hanya berapa kerat yang bersama-sama petugas kesihatan dan pihak kerajaan tempatan membersih dan menghapus tempat pembiakan nyamuk.
Jika anda tinggal ditempat yang ada kes denggi atau ada petugas kesihatan datang pada lewat petang untuk semburan nyamuk dikawasan anda, sila ke Klinik Kesihatan terdekat jika ada ada tanda-tanda berikut:
1. demam beserta;
2. sakit-sakit sendi
3. ruam
4. pendarahan hidung/gusi/lebam
5. sakit dibelakang mata
6. sakit kepala
Jika anda disyaki denggi atau menghidap denggi yang dirawat di rumah, sila datang ke Jabatan Kecemasan & Trauma SEGERA (24 jam) jika ada tanda-tanda berikut:
1. Kerap muntah
2. Sakit perut/ulu hati/bahagian kanan perut
3. Pening/gelisah
4. Pucat atau kulit rasa sejuk bila disentuh
5. Sesak nafas
6. Pendarahan dimana-mana
Masa kritikal denggi adalah ketika suhu panas (demam) mula kebah. Jika tiada kenderaan sila telefon nombor 999 untuk bantuan kecemasan. Rawatan awal menyelamatkan nyawa. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment