"Ting ting.... 1655"
"Ting ting.... 1655"
Pintu bilik konsultasi Zon Hijau dibuka perlahan. Kelihatan seorang wanita melangkah lemah masuk ditemani seorang lelaki yang memakai kot.
"Adus, apahal pakai kot malam-malam begini. Ni Temerloh ni," bisik Dr Anas dalam hati.
"Puan Junaidah?," tanya Dr Anas inginkan kepastian.
"Ye, betul. Saya suami dia," jawab lelaki berkot itu.
"Apa masalah puan?, " tanya Dr Anas memulakan proses konsultasi.
"Isteri saya ni tadi hidung berdarah secara tiba-tiba tadi. Nampak dah berhenti tapi saya bawa isteri untuk pemeriksaan, " ujar lelaki berkot itu.
Dr Anas hairan. Semua soalan yang ditujukan kepada pesakit dijawab oleh suami pesakit. Puan Junaidah hanya diam tanpa satu patah perkataan pun. Beliau hanya merenung ke lantai. Tiada ekspresi muka.
"Mengapa lebam di lengan kanan ni? Apa yang berlaku?," tanya Dr Anas yang perasan ada tanda biru gelap di lengan bawah pesakit.
"Oh, ini terlanggar sinki doktor masa isteri tergelincir mencuci tandas 3 hari lepas. Saya dah larang dia mencuci sebab hari dah malam tetapi isteri saya ni rajin orangnya, " jawab lelaki berkot itu.
Dr Anas mengerling Puan Junaidah. Dia perasan ada tanda-tanda lebam lain dibahagian kaki pesakitnya. Dia rasa tidak sedap hati. Dinding mukosa hidung pesakitnya tidak menunjukkan ada pendarahan lagi.
"Dato', saya terpaksa tahan Puan Junaidah untuk pemeriksaan darah dan pemerhatian di Wad Pemerhatian," kata Dr Anas kepada lelaki berkot itu. Dia sengaja memanggil lelaki itu dengan gelaran Dato', sesuai dengan kot yang dipakainya. Lagipun kebarangkalian untuk lelaki dengan pakaian begitu bergelar Dato' agak tinggi di Negeri Pahang.
"Panggil saya Shaari. Saya belum dianugerahi Dato' lagi. Tapi manalah tahu, masin mulut doktor," jawab lelaki berkot itu sambil ketawa bangga. "Lamakah isteri saya akan ditahan doktor? Perlukah? Pendarahan hidungnya pun dah berhenti. Saya nak bawa dia balik," mohon lelaki itu.
"Isteri Encik Shaari saya akan letakkan dibawah pemerhatian selama beberapa jam sehingga keputusan ujian darah saya analisa," terang Dr Anas yang sudah bertekad ingin menyiasat kecurigaan yang bersarang difikirannya.
2 jam berlalu ......
Dr Anas mula resah. Suami Puan Junaidah tidak berenggang langsung dengannya. Keputusan darah juga telah diterima. Normal.
"Dr Anas, suami pesakit bernama Puan Junaidah menanyakan bila isterinya boleh dibenarkan pulang," tanya jururawat bertugas di Wad Pemerhatian. "Beliau langsung tidak meninggalkan isterinya. Ke tandas pun diturutinya," tambah jururawat lagi.
"Nurse jangan risau. Biar dahulu. Sedikit masa lagi keluarlah si suami tu. Saya perasan ada rokok Dunhill 20 dipoketnya. Mesti dia terpaksa keluar daripada kawasan hospital untuk merokok," kata Dr Anas.
Benar kata Dr Anas. Encik Shaari dilihat resah dan mundar-mandir sebelum dilihat keluar daripada Jabatan Kecemasan & Trauma.
Puan Junaidah menangis teresak-esak apabila ditanyakan tentang apa yang sebenarnya berlaku. Benar bagai yang disyaki oleh Dr Anas, Puan Junaidah adalah mangsa penderaan rumahtangga. Begitu terperinci Puan Junaidah menceritakan bagaimana beliau didera saban hari sejak 6 bulan lalu. Terkasima Dr Anas mendengar cerita Puan Junaidah. Bukan sahaja penderaan fizikal, malahan Puan Junaidah juga di dera daripada segi mental dan seksual.
"Tapi doktor, mungkin suami saya mengalami tekanan jiwa agaknya memperlakukan saya sedemikian. Memang perniagaan beliau ada masalah kebelakangan ini," tiba-tiba Puan Junaidah membela suaminya. Ini adalah Sindrom Stockholm, dimana mangsa penderaan merasa belas terhadap orang yang mendera mereka. Tidak logik tetapi sindrom ini memang wujud.
"Nurse. Please activate OSCC protocol. I'll inform the police for protection. Please inform Jabatan Kerja Sosial so that they can liase with Jabatan Kebajikan Masyarakat. Arrange for admission because patient has no place to go," arahan daripada Dr Anas. Tiba-tiba sahaja beliau bercakap dalam bahasa Inggeris menunjukkan beliau sedikit tertekan untuk menyelamatkan pesakit ini.
Tidak lama selepas itu.......
"Doktor! Mana isteri saya?! Saya baru tinggalkan sekejap isteri saya dan doktor kata isteri saya telah dibenarkan pulang? Jika benar, dia pulang ke mana?" marah En Shaari apabila mendapati isterinya tiada di katil Wad Pemerhatian. "Saya boleh buat aduan dengan pihak pengurusan. Pengarah hospital ni orang kampung saya," sambungnya.
Dr Anas tidak bercakap banyak. Tidak berapa lama kemudian tiga orang anggota polis tiba di Jabatan Kecemasan & Trauma. Mereka menahan Encik Shaari untuk tindakan lanjut. Kini Puan Junaidah boleh berasa lega. Penderitaan beliau bakal berakhir, akibat keperihatinan Dr Anas yang perasan dan cakna tentang pesakitnya.
One Stop Crisis Centre (OSCC) adalah tempat perkhidmatan sepadu setempat untuk mangsa penderaan domestik atau rumahtangga. Mangsa hanya perlu datang ke Jabatan Kecemasan & Trauma untuk diperiksa tahap kecederaan. Bagusnya mangsa tidak perlu ke sana dan ke sini. Urusan lapuran polis, perlindungan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan psikologikal boleh didapati disini. Mangsa keganasan rumahtangga bukan sahaja untuk wanita bahkan juga untuk lelaki. Ya, ada juga sang suami yang didera isteri tau!
Biasanya mangsa keganasan rumahtangga bukan dikasari sekali dua, tetapi selalunya perlakuan ini berlaku beberapa lama sebelum mangsa mendapatkan pertolongan. Ada juga yang khuatir dan tidak mahu mendapatkan rawatan di sini dengan pelbagai alasan. Ramai daripada mangsa penderaan ini tidak mengetahui hak mereka. Mereka juga tidak tahu dimana dan kepada siapa hendak diadukan nasib mereka. Nasihat saya, datang ke Unit OSCC di Jabatan Kecemasan & Trauma, insya-Allah kami sedia membantu. Kami prihatin.
Nota kaki: OSCC adalah inisiatif Dato' Seri Dr Abu Hassan Ashaari Bin Abdullah, mantan Ketua Perkhidmatan Kecemasan & Trauma Malaysia. Dato' Seri kini adalah Ketua Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Kuala Lumpur.